AKM Terengganu: 454 individu ditawarkan pekerjaan

Seorang pengunjung sedang menjalani temu duga secara terbuka semasa mengunjungi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah AKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
Seorang pengunjung sedang menjalani temu duga secara terbuka semasa mengunjungi program Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah AKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu melakar kecemerlangan dengan rekod kedatangan pengunjung dan tawaran kerja tertinggi berbanding tiga edisi sebelum ini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, seramai 3,245 individu telah mendaftar sebagai pencari kerja sepanjang tiga hari AKM Terengganu berlangsung sejak Khamis lepas.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,771 individu telah menjalani temu duga dan 454 orang pula telah ditawarkan pekerjaan di 89 syarikat yang menyertai karnival ini.

"Bakinya pula akan dihubungi oleh majikan dalam masa terdekat dan kami berharap lebih ramai akan mendapat pekerjaan hasil penganjuran program ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai beberapa majikan yang menyertai karnival itu di sini pada Sabtu.

Beliau juga berharap orang ramai akan memanfaatkan penggunaan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) di 39 lokasi seluruh negeri untuk mengakses portal berkaitan pekerjaan di http://myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kejayaan karnival di Terengganu itu adalah hasil kerjasama erat pihaknya dengan kerajaan negeri.

"Hebahan yang dijalankan termasuk melalui media sosial dan pemimpin di peringkat akar umbi banyak membantu dalam mempromosikan peluang rakyat mencari pekerjaan sesuai di AKM Terengganu," katanya.

Jelajah AKM adalah kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep JAKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. - Bernama