Van Gaal persoal Bergwijn jarang beraksi

Bergwijn - Foto Getty Images
Bergwijn - Foto Getty Images
A
A
A

AKSI mantap dipamerkan pemain Belanda, Steven Bergwijn ketika membenam Belgium 4-1 pada Sabtu, menimbulkan tanda tanya kepada pengendali Oranje, Louis Van Gaal kerana pemain berkenaan jarang beraksi bersama Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Van Gaal menyifatkan Bergwijn beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan berkenaan selain turut membentuk gandingan mantap bersama Frankie de Jong.

“Bagi saya kemenangan ini cukup bermakna...tetapi yang paling menarik adalah apabila menyaksikan Frenkie de Jong dan Steven Bergwijn dapat membentuk keserasian beraksi bersama.

“Ia suatu persembahan yang hebat daripada kedua-dua pemain dan ini membuatkan saya tidak tahu kenapa dia (Bergwijn) tidak banyak diberikan peluang beraksi di Tottenham Hotspur dalam saingan EPL.

“Mungkin selepas ini, dia akan diberikan banyak peluang untuk beraksi atas kebolehannya merobek gawang lawan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Bergwijn turut menjaringkan satu gol bagi membantu kemenangan skuad Oranje.

Mengulas lanjut Van Gaal berkata, kemenangan ke atas Belgium itu dilihat sebagai kejayaan yang cukup membanggakan.

Katanya, menewaskan pasukan hebat seperti Belgium dengan jaringan yang agak besar disifatkan sebagai pencapaian hebat oleh skuad kendaliannya itu bagi saingan liga berkenaan kali ini.

“Ia nyata satu pencapaian yang mengagumkan apabila berjaya menewaskan pasukan yang pernah berada di ranking nombor satu dunia selama tiga tahun.

“Semoga kemenangan ini akan terus menyuntik semangat pemain untuk melakar lebih banyak kemenangan selepas ini,” katanya.