94.49 peratus pesawah terjejas banjir sudah terima bantuan TBTP

Kawasan penanaman padi di Merchong yang ditenggelami banjir pada awal tahun ini. Foto: ihsan IADA Pekan
Kawasan penanaman padi di Merchong yang ditenggelami banjir pada awal tahun ini. Foto: ihsan IADA Pekan
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 94.49 peratus daripada 1,203 pesawah yang terjejas dengan musibah banjir di Pekan telah menerima bantuan Tabung Bencana Padi (TBTP) setakat 31 Mei lalu.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris berkata, daripada jumlah itu, hanya 40 pesawah lagi yang masih belum menerima bantuan terbabit.

"Bantuan TBTP yang berjaya dikreditkan ke akaun bank pesawah Pekan terlibat sehingga penghujung bulan Mei lalu sebanyak RM3.05 juta daripada jumlah keseluruhan hampir RM3.21 Juta.

"Hampir enam peratus atau 40 pesawah yang gagal menerima bantuan itu disebabkan akaun bank pesawah terbabit telah tidak aktif, akaun ditutup atau menggunakan akaun orang lain," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, masalah itu diketahui selepas menerima aduan daripada pesawah Pekan pada 19 Mei lalu berhubung kelewatan bayaran bantuan TBTP disebabkan tanaman padi yang musnah akibat banjir.

Jelasnya, pihak IADA dengan Agrobank sedang berusaha mengatasi masalah ini termasuk menjejaki pesawah yang mempunyai akaun yang bermasalah.

"Saya telah berhubung dengan pegawai Agronank dan IADA Pekan bagi mendapat penjelasan lebih tepat untuk dimaklumkan kepada semua pesawah yang terlibat.

"Saya difahamkan RM3.21 juta diluluskan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan TBTP untuk diagihkan kepada 1,203 pesawah di Pekan yang terjejas banjir pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini melibatkan pesawah daripada Skim Pahang Tua, Ganchong dan Merchong.

"Sekiranya pesawah masih mempunyai apa-apa masalah dan ingin bertanya boleh menghubungi pejabat IADA Pekan di talian 09-426 0346," katanya.