Liga Super: Aksi Kedah, JDT dipinda

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERLAWANAN Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sepatutnya berlangsung pada 19 Jun ini telah dipinda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam memaklumkan, pihaknya menerima permohonan daripada Kedah pada 12 Mei lepas bagi membolehkan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan persiapan sebelum mengharungi kempen Piala AFC yang berlangsung di Denpasar, Bali, Indonesia pada 24 hingga 30 Jun ini.

Stuart berkata, MFL yang memajukan permintaan Kedah kepada JDT telah menerima maklum balas positif daripada ‘Harimau Selatan’ yang menyokong pertukaran jadual tersebut.

"Namun tarikh perlawanan yang dipinda akan ditentukan hanya selepas keputusan peringkat kumpulan Piala AFC nanti,” menurut kenyataan MFL pada Sabtu.

Stuart juga menegaskan bahawa MFL akan sentiasa memberikan kerjasama kepada kelab-kelab iaitu JDT dan Kedah termasuk Kuala Lumpur City FC yang bermain di kejohanan kompetitif Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

JDT akan bertemu Urawa Red Diamonds dalam aksi 16 pasukan terbaik ACL pada Ogos ini sementara Kedah dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC masing-masing bermain di Kumpulan G dan Kumpulan H bagi saingan Piala AFC. - Bernama