Bekalan ikan pulih mulai bulan ini: MAFI

Ahmad (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung, Kota Bharu pada Jumaat.
Ahmad (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjung, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ikan yang berkurangan kembali pulih bermula bulan ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peningkatan hasil pengeluaran itu dijangka berterusan sehingga ke kemuncaknya pada Oktober.

"Jumlah hasil pengeluaran ini bermusim dan berlaku pada setiap tahun.

"Saya akui perubahan cuaca yang di luar jangka ketika ini memberikan kesan kepada pengeluaran ikan negara," katanya selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurutnya, perubahan itu menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut untuk melakukan kerja-kerja menangkap ikan.

Beliau berkata, bagaimanapun stok bekalan ikan negara ketika ini mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

Dalam pada itu, katanya, bekalan makanan menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat hari ini.

"MAFI setiap masa membuat pemantauan bagi memastikan ia cukup supaya masyarakat tidak risau," katanya.