Maloney tetap bangga biarpun tewas

Kapten skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal ketika cuba merembat ke pintu gol Korea Selatan. - Foto FAM
Kapten skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal ketika cuba merembat ke pintu gol Korea Selatan. - Foto FAM
A
A
A

BIARPUN tewas 1-4 kepada Korea Selatan pada aksi Kumpulan C Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) di Stadium Lokomotiv, Tashkent pada Khamis, pengendali skuad negara, Brad Maloney tetap berbangga dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu.

Menurut Maloney, kesemua pemain mempamerkan aksi terbaik dan dilihat tidak mudah menyerah kalah di sepanjang perlawanan biarpun ketinggalan dua gol kepada lawan.

Malah katanya, prestasi yang ditunjukkan oleh kesebelasan skuad Harimau Muda itu boleh dibanggakan kerana berlawan dengan pasukan yang merupakan juara bertahan kejohanan.

“Kita berdepan dengan pasukan lawan yang bagus, ternyata mereka memberikan tentangan sengit sebagaimana dijangkakan.

“Saya tetap berbangga dengan kesebelasan pemain yang dilihat tidak mudah menyerah kalah biarpun ketinggalan 0-2, mereka tetap terus ‘mengejar’ hingga berjaya menghasilkan satu gol.

“Malangnya pada penghujung perlawanan pintu gol berjaya dibolosi dan inilah akibatnya jika memberikan peluang kepada pasukan hebat seperti Korea Selatan di mana mereka akan ‘menghukum’ kelalaian kita,” kataya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Untuk rekod, skuad negara bakal berdepan Thailand pada 5 Jun di Stadium Milly sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan berdepan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021, Vietnam pada 8 Jun di Stadium Lokomotiv.

Mengulas mengenai baki aksi berdepan Thailand dan Vietnam, Maloney berkata, skuad B-23 negara sebenarnya memiliki pengalaman berdepan dengan kedua-dua pasukan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perlawanan kali ini pasti berbeza apabila kedua-dua pasukan diberitakan telah melakukan beberapa perubahan seperti membawa masuk pemain baharu bagi memantapkan pasukan masing-masing.

“Selepas ini, akan berdepan Thailand, kita telah beberapa kali berdepan dengan mereka seperti di peringkat kelayakan termasuk di Sukan SEA bulan lalu.

“Saya mendapat maklumat, mereka ada melakukan perubahan bagi mengharungi kejohanan ini.

“Apa pun, kita akan memanfaatkan masa yang ada dengan mengkaji mengenai Thailand setelah aksi pertama mereka,” katanya.