Presiden PKBM didakwa dua pertuduhan rasuah

Abu Samah (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat kerana mendapatkan suapan.
Abu Samah (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat kerana mendapatkan suapan.
A
A
A

MELAKA - Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM48,811.85.

Tertuduh berusia 81 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan presiden persekutuan berkenaan didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd milik anaknya bagi menyediakan sewaan kenderaan logistik dengan harga RM12,750.

Suapan itu dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai tahun 2013 sehingga 2018.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara sama membabitkan syarikat milik adiknya Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85.

Bayaran itu dilakukan melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat PKBM antara 2013 sehingga 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM15,000 selain memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah sebanyak RM5,000 diberikan dengan alasan dia telah berusia 81 tahun dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sejak dua tahun lalu.

Abu Samah juga merayu agar pasportnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana sering ke luar negara atas urusan rasmi persekutuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 14 Julai depan.