Enam GRO warga asing, dua lelaki tempatan ditahan

Polis menahan enam wanita Thailand dalam serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Polis menahan enam wanita Thailand dalam serbuan di sebuah premis di Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam wanita warga Thailand disyaki pelayan pelanggan (GRO) sedang leka melayan pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, pada Khamis.

Serbuan pada jam 10.05 malam itu dilaksana sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, enam wanita warga asing itu berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun telah ditahan.

Menurutnya, turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis dan ejen kepada GRO terbabit.

“Ketika serbuan, wanita asing itu sedang melayan pelanggan minum dan berhibur.

“Upah atau tip yang diterima oleh GRO itu adalah sebanyak RM120 hingga RM150 per jam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit bekerja di premis itu sejak dua bulan lalu.

Tambahnya, pihaknya juga merampas peralatan radio dan resit perniagaan.

“Kita juga turut memeriksa tujuh orang pelanggan dalam lingkungan 25 hingga 49 tahun.

“Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields,” ujarnya.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (AHWPKL), Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen.