Juruteknik curi elektrik lombong bitcoin dicekup

Antara barang yang dirampas polis dalam serbuan itu.
Antara barang yang dirampas polis dalam serbuan itu.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang lelaki yang menggunakan kepakarannya sebagai juruteknik komputer dengan membuat penyambungan elektrik secara haram bagi tujuan melombong bitcoin dicekup polis.

Kegiatan lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas polis menyerbu rumahnya di Jalan Pasir Pekan, di sini yang dijadikan sebagai premis aktiviti berkenaan pada jam 12.30 tengah malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat serbuan di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat aktiviti pemasangan mesin bitcoin dan mencuri elektrik secara haram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai tempat ‘mining bitcoin’.

Beliau berkata, rumah berkenaan turut beroperasi sebagai pusat server dengan menggunakan bekalan elektrik yang disambung secara haram.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek turut mengaku menjalankan aktiviti tersebut di kediaman sendiri.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 37 unit mesin bitcoin, pelbagai jenis power supply (34 unit), blower (4), wifi router (8), suis utama TNB (4), papan litar kekunci (12), monitor (1) dan papan kekunci (1).

"Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah antara RM30,000 hingga RM40,000 " katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dibuat setelah permohonan reman diperoleh.

Beliau berkata, pihak TNB telah mengalami kerugian akibat kecurian tenaga elektrik melalui aktiviti berkenaan dan kesemua bekalan elektrik di rumah berkenaan telah dipotong.