Prosiding 1MDB dilapangkan, peguam positif Covid-19

Najib (kiri), Arul Kanda
Najib (kiri), Arul Kanda
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan 14 Jun ini untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy memberikan keterangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dilapangkan berikutan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, Muhammad Shafee disahkan positif selepas membuat Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Selasa lalu.

“Tarikh pendengaran hari ini dilapangkan dan Hakim (Mohamed Zaini Mazlan) mahu permohonan ini didengar secepat mungkin, jadi satu tarikh tambahan ditetapkan iaitu 14 Jun ini," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan prosiding bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB ditangguhkan, apabila Muhammad Shafee didapati tidak sihat.

Menurut jadual asal, mahkamah menetapkan Isnin untuk mendengar permohonan di bawah Seksyen 63 Akta 2009 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul Kanda bagi memberi keterangan sebagai saksi terhadap tertuduh bersamanya dalam kes itu, Najib.

Pada 20 Mei lalu, ketua pihak pendakwaan kes berkenaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Arul Kanda mungkin mempunyai maklumat yang berkaitan urusan dengan Najib, yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan ke atas Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februai 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.