Kerani maut motosikal bertembung pacuan empat roda

Mohamad Akman maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper di Kampung Gertak Kechupu, Kota Bharu pada Khamis.
Mohamad Akman maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper di Kampung Gertak Kechupu, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kerani maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper di Kampung Gertak Kechupu di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, Mohamad Akman Mohd Alimi, 23, maut di lokasi selepas mengalami parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pacuan empat roda yang dinaiki seorang lelaki bersama rakannya dari arah Binjai menghala ke Kedai Lalat.

"Sejurus tiba di Kampung Gertak Kechupu, sebuah motosikal jenis Yahama Lagenda yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan telah terbabas dan memasuki laluan pacuan empat roda tersebut.

"Motosikal tersebut kemudiannya telah melanggar bahagian bucu hadapan sebelah kanan Isuzu Trooper," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, akibat perlanggaran tersebut mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

Shuhaimi berkata, pemandu dan penumpang pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

"Saringan air kencing mendapati pemandu negatif daripada dadah," katanya.