Jenazah bekas Panglima ATM selamat dikebumi

Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi. - Foto Bernama
Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi di sini pada 3.15 petang dengan penuh istiadat ketenteraan.

Jenazah, yang diiringi seramai 75 anggota kumpulan pengiring daripada ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiba di tanah perkuburan itu pada 2.40 petang dengan keranda ditutupi Jalur Gemilang.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, yang hadir bersama dengan pimpinan tertinggi ATM lain di tanah perkuburan itu, kemudian menyerahkan Jalur Gemilang berkenaan kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham, yang merupakan Panglima Angkatan Tentera ke-11, meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan di sini sejak 25 Mei lepas.

Abdul Rahman menyertai ATM pada 1955 dan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera pada April 1992 sebelum bersara pada Februari 1994.

Allahyarham meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rosilah Ahmad dan empat orang anak.- Bernama