Malaysia kekalkan status quo mandat biodiesel

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan mengekalkan status quo pada mandat biodieselnya, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberi jaminan kepada Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) bahawa pihaknya mendengar cadangan persatuan itu iaitu Malaysia harus mengekalkan mandat biodiesel sedia ada.

Persatuan itu menekankan mengapa Malaysia tidak sepatutnya mengurangkan atau menghentikan mandat biodieselnya kerana industri biodiesel hampir tidak menggunakan satu juta tan minyak sawit setiap tahun berbanding lebih 40 juta tan yang digunakan di seluruh dunia.

Menurut persatuan itu lagi, apa-apa reaksi mengejut terhadap pengharaman bahan api bio yang diperoleh daripada minyak sayur-sayuran akan menyebabkan malapetaka dalam pasaran minyak sayuran global.

Dalam pada itu, Zuraida dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, bahawa kementerian itu juga akan kekal komited untuk melaksanakan Dasar Biobahan Api Nasional (NBP) yang telah dilancarkan pada Mac 2006.

NBP kekal komited untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai sasaran pengurangan pelepasan GHG sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Ia juga komited bagi memperluaskan penggunaan produk minyak sawit hiliran dan menjadi inisiatif untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit melalui mekanisme kawalan harga pasaran minyak sawit dan mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga, katanya. - Bernama