861 akaun bank diguna sindiket penipuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 861 akaun bank di negeri ini dipercayai digunakan sebagai 'akaun keldai' dalam tempoh Januari hingga 10 Mei lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan E Sundra Rajan.

Beliau berkata, jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 235 kes atau 37.4 peratus berbanding 626 kes bagi tempoh sama tahun lalu di mana Melaka Tengah merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 472 akaun bank.

Menurutnya, berdasarkan statistik jabatan, kes akaun keldai di Melaka Tengah dan Alor Gajah meningkat 59 dan 179 kes berbanding tahun lalu bagaimanapun, kes di Jasin menunjukkan penurunan tiga kes.

"Selain Melaka Tengah, Alor Gajah pula mencatatkan 310 manakala Jasin 89 akaun bank yang digunakan sebagai keldai.

"Dalam tempoh lima bulan tahun ini juga 25 kes telah dituduh di mahkamah dengan pecahan 12 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah 10 kes dan tiga kes di Jasin," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, Melaka turut merekodkan 2,183 kes akaun keldai sepanjang tahun lalu.

"Polis akan meneruskan usaha mendekati orang ramai untuk memberi kesedaran dan pendidikan agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya.