Jangan takut dapatkan rawatan kanser payudara

Naliza (enam dari kanan) bersama barisan pasukan BCWA bergambar selepas program malam penghargaan anjuran BCWA pada Rabu.
Naliza (enam dari kanan) bersama barisan pasukan BCWA bergambar selepas program malam penghargaan anjuran BCWA pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jangan takut untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya didiagnos dengan kanser payudara.

Itu antara nasihat yang diberikan Naib Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Naliza Fahro Rozi yang juga merupakan bekas pesakit kanser payudara.

Naliza
Naliza

Beliau berkata, ramai pesakit yang mendapatkan rawatan awal mampu kembali sihat dan berpeluang meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Nasihat saya, jangan tunggu, segera dapat rawatan kerana kadang kala dalam tempoh enam bulan pun dah melarat ke peringkat lebih teruk.

“Setiap pesakit mempunyai pelan rawatan tersendiri bergantung kepada pelbagai faktor. Perlu ikut nasihat pakar onkologi dan buat rawatan yang disyorkan.

“Kanser payudara dapat dikesan pada peringkat awal jika wanita melakukan pemeriksaan payudara sendiri atau di klinik dan imbasan ujian mamogram.

“Peluang untuk hidup dalam tempoh lima tahun hampir 99 peratus jika kanser dirawat pada peringkat awal, tetapi jika peringkat empat, peluang hidup hanya sekitar 25 peratus,” katanya ketika ditemui pada program malam penghargaan anjuran BCWA pada Rabu.

Mengulas lanjut, Naliza berkata, secara umumnya, tahap kesedaran kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia dipengaruhi oleh tahap pendidikan, status ekonomi, geografi tempat tinggal sama ada bandar atau luar bandar dan akses kepada rawatan.

Tambahnya, agak menyedihkan apabila masih ramai penghidap kanser payudara terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar tidak mahu mendapatkan rawatan kerana bimbang dengan stigma komuniti.

“Kebanyakannya tidak dididik dengan kanser ini, jadi mereka takut nak dapatkan rawatan sebab takut orang tahu dan mungkin dipulaukan atau ada ahli keluarga yang tidak dapat terima.

“Ramai orang tahu kanser payudara wujud, tapi macam mana kita nak kesan, apa implikasinya dan jenis-jenis kanser payudara, saya rasa tidak ramai yang tahu.

“Apabila dapat tahu ada kanser, ramai yang takut kita tidak akan sembuh atau akan mati, tetapi sebenarnya kalau pergi rawatan awal, kita dapat cegah daripada melarat atau merebak ke peringkat yang lebih teruk,” jelasnya.