Jangan hanya lihat Indonesia sebagai sumber pekerja asing: PAPSMA

(Gambar kecil: Dr Sukumaran Nair) Pemilik ladang kelapa sawit bersedia untuk menyerap kesemua caj kuarantin Covid-19 yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang kekurangan tenaga kerja asing pada masa ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
(Gambar kecil: Dr Sukumaran Nair) Pemilik ladang kelapa sawit bersedia untuk menyerap kesemua caj kuarantin Covid-19 yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang kekurangan tenaga kerja asing pada masa ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mencadangkan kerajaan tidak hanya melihat Indonesia sebagai sumber untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing dalam negara.

Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, kerajaan perlu melihat beberapa negara lain seperti Bangladesh dan Nepal yang bersedia untuk menghantar tenaga buruh ke Malaysia.

Menurutnya, langkah sebegitu perlu diambil memandangkan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang sepatutnya sampai ke Malaysia pada 31 Mei 2022 tidak tiba seperti dijadualkan.

“PAPSMA tidak tahu punca sebenar PDI itu lambat tiba ke Malaysia sedangkan kerajaan kedua-dua negara telah melakukan pelbagai usaha untuk menempatkan PDI ke Malaysia sejak fasa peralihan ke endemik bermula.

“Kami mendesak kerajaan Malaysia melihat negara lain untuk memenuhi keperluan industri dalam negara sebelum rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan dalam menangani isu tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, perkembangan terbaharu itu mengecewakan ramai majikan dengan mereka berharap kekurangan kritikal dalam pelbagai sektor di Malaysia dapat diselesaikan segera.

Untuk rekod, seramai 164 orang kumpulan pertama pekerja asing sektor perladangan dari Indonesia, dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, jam 10 malam.

Ketibaan mereka adalah ketibaan pertama kumpulan pekerja asing dari negara itu, selepas sekatan disebabkan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, mereka tidak tiba seperti dijadualkan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan daripada republik itu berhubung punca kegagalan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan makluman awal, kedutaan dimaklumkan kegagalan membawa masuk kumpulan tenaga kerja itu dikatakan berpunca faktor visa dan dokumen perjalanan tidak lengkap.

Bagaimanapun, Sukumaran berkata, pihaknya belum menerima maklumat terperinci berhubung keadaan itu, selain sudah meminta Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia (KEMNAKER) mendapatkan maklum balas pihak berkaitan.