Pemandu lori, rakan didakwa merompak dan cederakan wanita

Sathiah (kanan) bersama Sithambaram (kiri) ketika dibawa ke kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis
Sathiah (kanan) bersama Sithambaram (kiri) ketika dibawa ke kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan merompak dan mencederakan seorang wanita dua bulan lalu.

Tertuduh, P Sathiah, 43, dan rakannya, A Sithambaram, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa merompak wang tunai bernilai Singapore Dollar (SGD) 110,000 (RM345,730) dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah kedai pengurup wang berhampiran stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini kira-kira jam 10.10 pagi pada 29 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seskyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam Syufri A Samad yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya dengan alasan mereka mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 5 Julai depan.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menahan suspek kes samun itu pada 23 Mei lalu dan merampas semula sejumlah wang yang disamun serta motosikal digunakan ketika kejadian.

Beliau berkata, mangsa dalam insiden itu cedera di bahagian tangan kiri dan menerima 37 jahitan.