Sindiket seludup diesel bersubsidi dibongkar

Peralatan menyimpan diesel bersubsidi yang dirampas menerusi serbuan berkenaan pada tengah malam Rabu
Peralatan menyimpan diesel bersubsidi yang dirampas menerusi serbuan berkenaan pada tengah malam Rabu
A
A
A

PASIR GUDANG - Satu sindiket dipercayai bergiat aktif melakukan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi sejak dua bulan lalu berjaya dibongkar menerusi serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, pada Khamis.

Pegawai Permerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.45 malam itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, penahanan itu dibuat selepas kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira dua bulan yang mana dua suspek ditahan dipercayai merupakan pemandu lori yang membawa diesel bersubsidi manakala seorang bertindak sebagai penjaga premis.

“Hasil serbuan berjaya merampas 22,000 liter minyak diesel subsidi berserta empat kenderaan dan peralatan sindiket yang dianggarkan bernilai RM357,200,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Mohd Razali berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru.

“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Polis juga memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada bagi membantu mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini,” katanya.