Siswa mudahkan urusan wasiat, hibah dalam talian

Abdul Aziz (tengah) menunjukkan sistem Siswa yang boleh diakses secara dalam talian di lawan web MAIS.
Abdul Aziz (tengah) menunjukkan sistem Siswa yang boleh diakses secara dalam talian di lawan web MAIS.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa) bagi memudahkan masyarakat Islam di negeri tersebut menguruskan wasiat dan hibah secara mudah serta pantas secara dalam talian.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sistem berkenaan dinaik taraf daripada sistem e-Wasiat sedia ada dengan menggabungkan dua elemen penting dalam perancangan pembahagian harta iaitu wasiat dan hibah.

Menurutnya, permohonan dan kelulusan dalam sistem Siswa diuruskan secara dalam talian, selain menawarkan penggunaan Electronic Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang dilaksanakan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini.

"Sehingga kini, MAIS menerima dan menguruskan sebanyak 3,196 permohonan wasiat dan hibah.

"Manakala bagi tahun 2022, MAIS menyasarkan seramai 6,000 orang yang akan mendaftar Siswa bagi pengurusan wasiat dan hibah mereka.

"MAIS berharap ia dapat memberi kemudahan kepada masyarakat Islam untuk membantu dan merancang pembahagian harta dengan sistematik bagi mengelakkan isu serta pertikaian harta pusaka dalam kalangan waris-waris di kemudian hari kelak."

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi-Tea Bersama Pengamal Media Dan Pelancaran Sistem Wasiat Dan Hibah MAIS Bagi Tahun 2022 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir ialah Mufti Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Baitulmal MAIS, Datuk Dr Anhar Opir dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, hebahan dan penerangan tentang sistem tersebut akan dilakukan menerusi Kempen Bulan Kesedaran Wasiat dan Pusaka Negeri Selangor yang diadakan sepanjang Jun ini.

Ujarnya, pelbagai aktiviti disusun dengan kerjasama media, pengisian di kuliah-kuliah khas, pembukaan kaunter informasi berkaitan wasiat dan pusaka di masjid serta surau terpilih di Selangor.

Pada majlis sama, MAIS turut meraikan pengamal media sepanjang tahun 2021 yang memberi kerjasama yang cemerlang dalam membuat liputan berita MAIS merangkumi kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.