Pengusaha restoran mamak disaran kekal harga berpatutan: Presma

A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pengusaha restoran mamak disaran agar mengekalkan harga makanan yang berpatutan walaupun berlaku kenaikan harga barangan ketika ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tujuan utama pembukaan restoran mamak itu sendiri lebih mementingkan harga berpatutan serta memberi perkhidmatan terbaik

“Polisi saya setakat ini kami masih bertahan lagi. Ada saja yang masih menjual roti canai dengan RM1.50, RM1.20 pun ada.

“Bergantung kepada konsep kedai. Jangan ingat semua restoran mamak sama. Apa yang penting harga berpatutan, bersih itu yang kita mahukan.

“Tengok juga apa konsep mereka, sewa, pinggan yang digunakan, suasana kedai itu sendiri,” katanya dalam sidang media berhubung dakwaan wujudnya kartel mamak di sini pada Rabu.

Turut hadir Ketua Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Timbalan Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia, Mohamed Azrin Anver Ali.

Mengulas lanjut, Jawahar berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga masih memantau sekiranya berlaku kenaikan harga yang tinggi.

“Jangan kata tiada kenaikan harga. Masih ada KPDNHEP, begitu juga ada akta pencatutan yang memantau kenaikan harga yang tidak munasabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ramai yang inginkan keuntungan tetapi mereka lebih memilih keberkatan dalam perniagaan.

“Bukan niat kami nak kaya raya, nak naik kereta mahal, itu bukan kami.

“Nawaitu kami sekarang ini untuk membantu kerajaan tetapi seboleh mungkin untuk beri perkhidmatan yang baik,” katanya.

Tambahnya, Jawahar turut mengakui isu pekerja menjadi masalah utama mereka ketika ini.

“Apabila sebut isu pekerja, kenapa rakyat Malaysia tidak beri peluang untuk bekerja? dah bagi pun.

“Nak ambil pekerja asing pula banyak proses yang diperlukan,” ujarnya.