Jalan sesak, wanita lahir anak dalam kereta

Seorang wanita yang bersalin di dalam kereta dan bayinya dibantu pasukan bomba untuk dihantar ke hospital dalam kejadian di Jalan Lintas, Kota Kinabalu pada Rabu.
Seorang wanita yang bersalin di dalam kereta dan bayinya dibantu pasukan bomba untuk dihantar ke hospital dalam kejadian di Jalan Lintas, Kota Kinabalu pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita terpaksa bertarung nyawa melahirkan anaknya di dalam kereta selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Lintas di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, situasi mencemaskan pasangan suami isteri terbabit berjaya diatasi apabila Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan yang kebetulan berada di lokasi membantu menyelamatkan bayi perempuan mereka yang baru dilahirkan itu.

Difahamkan, wanita berusia 39 tahun itu bersama suaminya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan ketika dalam perjalanan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas sebelum melahirkan anak di dalam kereta jenis Perodua Viva tersebut.

Menurut Farhan Sufyan, ketika itu dia sedang dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Beliau kemudian memberhentikan kenderaannya selepas mendapati seorang lelaki dilihat dalam keadaan cemas manakala seorang lagi wanita berbaring di dalam kereta berkenaan.

"Sebaik menyedari kejadian sebenar, saya terus menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mengikat tali pusat bayi terbabit.

"Pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Farhan Sufyan berkata, mangsa dan bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di HWKKS untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes kecemasan itu bukan yang pertama kali dihadapinya selaku pegawai bomba.

"Pernah juga ada kes di mana seorang wanita terpaksa melahirkan anak di balai bomba disebabkan kesesakan lalu lintas untuk ke hospital yang memaksa mangsa singgah ke balai bomba untuk meminta bantuan di hantar ke hospital berhampiran.

"Ada juga kes di kawasan pedalaman yang mana wanita terpaksa melahirkan anak di dalam helikopter bomba semasa dalam penerbangan ke hospital.

"Jadi, menerusi pengalaman seperti ini, JBPM sentiasa menerapkan ilmu berkaitan kes kecemasan kepada pasukan bomba terutama kepada unit EMRS supaya lebih bersedia," katanya.