Sila log masuk terlebih dahulu.

Nelayan beli minyak guna kereta sorong punca stesen minyak sesak

Aktiviti pembelian petrol dan diesel menggunakan tong plastik dan kereta sorong menyebabkan kesesakan pada stesen minyak di sekitar Semporna.
Aktiviti pembelian petrol dan diesel menggunakan tong plastik dan kereta sorong menyebabkan kesesakan pada stesen minyak di sekitar Semporna.
A
A
A

KOTA KINABALU - Stesen minyak di sekitar Semporna sesak dipercayai berpunca daripada sikap segelintir nelayan yang mengisi minyak menggunakan tong plastik dan kereta sorong untuk membeli bahan api berkenaan.

Hasil pemeriksaan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mendapati, pemilik bot penambang dan bot pelancong juga melakukan perkara sama yang mana mereka membuat pembelian petrol RON95 dan diesel yang diangkut menggunakan kereta sorong dari stesen minyak di sekitar Semporna.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, ZuLfamy Mat Udi berkata, pihaknya maklum mengenai situasi kegiatan pembelian minyak petrol RON95 dan diesel menggunakan tong plastik yang diangkut menggunakan kereta sorong di stesen minyak di Semporna.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiga faktor utama yang menyumbang kepada aktiviti pembelian petrol dan diesel menggunakan tong plasik di stesen-stesen minyak di Semporna adalah disebabkan aktiviti mengisi minyak oleh nelayan tempatan.

"Faktor kedua, bot penambang yang digunakan sebagai pengangkutan utama oleh penduduk tempatan berulang-alik sama ada untuk tujuan bekerja atau membeli barangan keperluan harian dari pulau-pulau yang berhampiran di dalam daerah Semporna ke pekan Semporna.

"Faktor ketiga adalah kegiatan bot pelancong yang mendapatkan bekalan minyak bagi menjalankan aktiviti pelancongan berikutan pembukaan aktiviti perniagaan pelancongan pada masa kini, namun pemilik bot pelancongan ini telah mendapatkan kebenaran melalui permit khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, KPDNHEP Cawangan Semporna telah mengambil inisiatif dengan mengesyorkan kepada nelayan, pemilik bot penambang serta bot pelancong untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak berlesen yang terletak di Kampung Selamat, Semporna.

"Ini memandangkan kedudukan stesen itu terletak di tepi laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu berkata, bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, pegawai KPDNHEP Cawangan Semporna sentiasa membuat pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak di daerah ini.

"Selain itu, kesemua pengusaha stesen minyak yang diperiksa telah diberi peringatan agar mematuhi syarat-syarat lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Peringatan ini juga turut dipanjangkan kepada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi khususnya di Semporna agar mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," tegasnya.