De Bruyne dapat lesen kejurulatihan

De Bruyne
De Bruyne
A
A
A

PEMAIN tengah Manchester City, Kevin De Bruyne lega apabila menerima lesen kejurulatihan selepas dua tahun menjalani latihan bersama Persekutuan Bolasepak Diraja Belgium (RBFA).

De Bruyne merupakan antara 18 pemain dan bekas pemain Belgium mengikuti program yang membantu mereka melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terkini khasnya dalam bidang sains sukan, prasyarat yang perlu dimiliki seseorang yang ingin menjadi jurulatih bertauliah.

"Ideanya ialah peralihan ini sudah membolehkan peserta kursus memikirkan apa yang mereka mahu lakukan selepas penghujung kerjaya mereka.

“Ramai dalam kalangan pemain sudah membuat banyak kemajuan dan kami sudah melihat keputusannya.

"Mereka mengambil langkah pertama untuk menjadi jurulatih di Belgium, jadi mereka tidak perlu pergi ke luar negara serta-merta," ujar Ketua Pendidikan Kejurulatihan RBFA, Kris Van Der Haegen dalam satu kenyataan.

Kenyataan Der Haegen merujuk kepada bekas pemain pertahanan Belgium, Thomas Vermaelen yang bersara tahun lalu, kini menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Selain De Bruyne yang berusia 30 tahun, turut menerima lesen masing-masing adalah penyerang Napoli, Dries Mertens; pemain pertahanan Benfica, Jan Vertonghen; pemain Borussia Dortmund, Axel Witsel dan duo Leicester City, Youri Tielemans dan Dennis Praet.