Perak perkenal aplikasi PASS promosi produk pelancongan

A
A
A

TAIPING - Kerajaan negeri melancarkan Perak Pass Plus (PPP), sebuah aplikasi pendigitalan melalui Tourism Perak untuk mempromosikan produk pelancongan di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, aplikasi PPP ini boleh dimuat turun bermula Rabu menerusi Apple App Store, Google Playstore dan Huawei App Gallery.

"Aplikasi ini menawarkan perkhidmatan maklumat dan baucar bersama pemain industri yang akan memberikan impak tambahan kepada pengunjung domestik dan antarabangsa bermula tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Persaraan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari Dr Kevin Lazarus di Pavillion Zoo di sini malam Rabu.

Melalui aplikasi PPP itu, Nolee Ashilin berkata, kesemua aktiviti berkaitan promosi boleh dilakukan secara digital, lebih mudah dan pantas yang berfungsi sebagai ‘booking engine’ seperti Booking.com, Agoda dan Lazada namun lebih memberi fokus kepada produk pelancongan negeri.

Jelasnya, ia juga menawarkan perkhidmatan untuk tempahan hotel, pengangkutan awam, baucar makanan dan sebagainya dan diharap, buah tangan terbaru itu dapat terus menarik kehadiran pelancong domestik ke negeri ini sementara menunggu kelonggaran kehadiran pelancong antarabangsa pada tahun depan.

Nolee Ashilin sebelum itu berkata, kerajaan negeri mengucapkan penghargaan atas jasa yang tidak ternilai kepada Dr Kevin sepanjang perkhidmatannya di Zoo Taiping & Night Safari sejak 35 tahun lepas dan berharap beliau dapat memberikan khidmat serta nasihat untuk membantu zoo walaupun telah bersara.

Sementara itu, Dr Kevin berkata seramai 350,000 pengunjung telah mengunjungi Zoo Taiping & Night Safari sejak lima bulan pertama tahun ini berbanding 200,000 dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Saya menjangkakan jumlah pengunjung akan bertambah antara 500,000 hingga 800,000 menjelang akhir tahun ini mengikut trend sekarang,” katanya.

Dr Kevin memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Veterinar di Zoo Taiping pada 1987 dan menjadi Pengarah Zoo Taiping & Night Safari pada 1994 sehingga bersara. - Bernama