LTdL 2022 tunda sebab pertindihan tarikh kejohanan lain

KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menyantuni atlet-atlet negara sebaik tiba pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri).
-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) menyantuni atlet-atlet negara sebaik tiba pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri). -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

PERLUMBAAN berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadualkan dari 11 hingga 18 Jun, terpaksa ditunda ke 11 hingga 18 Oktober depan berikutan pertindihan tarikh dengan kejohanan lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia berikutan tempoh tersebut adalah musim panas di Eropah yang menyaksikan banyak perlumbaan diadakan di benua berkenaan.

Ahmad Faizal turut mengesahkan laluan yang beliau umumkan pada Mac lepas, kekal tanpa sebarang perubahan dengan pelumba dijangka mempamerkan persaingan sengit bagi memburu mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Pihak UCI bersetuju menganjurkan LTdL pada Oktober sebagai perlumbaan terakhir musim ini. Tentu sekali ia akan memberi perhatian dan negara kita akan menjadi tumpuan bagi peminat basikal di seluruh dunia, sebagai tuan rumah perlumbaan terakhir musim ini.

“Kita juga bersama-sama penganjur swasta (Human Voyage Sdn Bhd) telah berbincang secara terperinci mengenai penganjuran ini, jadi tiada masalah untuk dianjurkan pada Oktober,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi tetamu kehormat majlis itu yang turut disertai atlet kebangsaan, pemimpin sukan serta bekas atlet.

LTdL sepatutnya dianjurkan dari 3 hingga 10 Mac lepas, namun ditunda ke Jun oleh Human Voyage dengan alasan peningkatan mendadak kes varian Omicron Covid-19 pada awal tahun ini, syarat kuarantin serta keperluan penstrukturan semula strategi pemasaran dan pengkomersialan.

Sementara itu, Ahmad Faizal yakin Malaysia mampu menganjurkan Sukan SEA ke-34 pada 2027 dengan baik selepas berjaya menganjurkan temasya berkenaan pada 2017 dan Sukan Komanwel 1998 dengan jayanya.

“Saya bangga kerana selalunya pusingan menjadi tuan rumah mengambil masa 20 tahun, tetapi kita dapat tawaran dalam 10 tahun.

“Negara-negara ASEAN kagum dan yakin dengan kemampuan rakyat Malaysia untuk menganjurkan Sukan SEA,” katanya sambil menambah perincian lain seperti belanjawan akan dibincangkan kemudian.

Ditanya mengenai permintaan Taekwondo Malaysia (TM) yang mahu sukan tempur itu diserapkan semula sebagai sukan teras, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Presiden TM, Azizul Annuar Adenan meminta taekwondo disenaraikan semula sebagai sukan teras, selepas mempamerkan prestasi baik dengan membawa pulang sebutir perak dan dua gangsa pada Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Korea Selatan, selain satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam baru-baru ini. - Bernama