Lebih 100 pelombong emas terbunuh dalam keganasan di Chad

Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung dan semua warga asing dipindahkan ke Libya. - Foto AA
Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung dan semua warga asing dipindahkan ke Libya. - Foto AA
A
A
A

N'DJAMENA - Lebih 100 pelombong emas terbunuh manakala 40 lagi cedera dalam keganasan yang tercetus pada minggu lalu di lombong emas Kouri Bougoudi di utara Chad, kata seorang pegawai pada Isnin.

Imej tersebar di media sosial memaparkan jasad bergelimpangan atau hangus di lombong emas yang terletak di wilayah Tibesti bersempadan dengan Libya, lapor Xinhua.

"Insiden tercetus akibat pertengkaran antara dua individu... kemudian ia bertukar menjadi pertempuran yang dahsyat.

"Anggota tentera telah dikerah ke lokasi berkenaan bagi menyuraikan pertelingkahan itu.

"Operasi di tapak perlombongan emas telah digantung dan semua warga asing dipindahkan ke Libya, manakala rakyat tempatan ditempatkan di Wour oleh pasukan tentera," Daoud Yaya Brahim, seorang menteri Majlis Presiden, dipetik sebagai berkata.

Sejak 2017, lombong emas Tibesti yang terletak di kawasan pergunungan, telah menarik perhatian puluhan ribu rakyat Chad, dan pelombong emas dari Libya, Nigeria serta negara jiran lain. - Bernama