JPN Melaka tutup cawangan di PKD Sungai Rambai

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka akan menutup sepenuhnya operasi JPN Cawangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Sungai Rambai, Jasin bermula 1 Julai depan.

JPN Melaka menerusi satu kenyataan berkata, berikutan itu perkhidmatan kaunter di pejabat terbabit hanya akan beroperasi sehingga 30 Jun depan.

Menurutnya, sebarang urusan yang berkaitan boleh dilakukan di JPN Daerah Jasin atau mana-mana pejabat JPN berhampiran.

"Jabatan ini juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk rakyat di sekitar kawasan pejabat tersebut yang telah banyak memberikan kerjasama dan mendapatkan perkhidmatan sepanjang pembukaan pejabat ini sejak 2016," katanya.

Jelasnya, untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN Negeri Melaka di talian 06-2326600 / 06-2326881 atau e-mel ke pppmelaka@jpn.gov.my.

PKD yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) arah ke Melaka sebelum ini dikenali sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan dibangunkan dengan peruntukan RM2.6juta.

Bangunan itu juga pernah menempatkan hampir 30 agensi kerajaan bagi memudahkan penduduk setempat membuat sebarang urusan dan perkhidmatan tanpa perlu ke bandar Jasin.