Kes denggi di Malaysia terus meningkat

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 1,420 kes demam denggi direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh minggu epidemiologi ke-20 (ME-20) iaitu 15 hingga 21 Mei.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 32.2 peratus berbanding minggu sebelumnya, 1,074 kes.

"Bilangan kes pada (ME 20) adalah tertinggi sejak tahun 2021," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 16,145 kes berbanding tempoh sama tahun 2021, iaitu 10,597.

"Sebanyak sembilan kematian akibat komplikasi denggi turut dilaporkan berbanding lima kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, terdapat 41 lokaliti kawasan panas dilaporkan pada minggu ini dan sebahagian besar daripadanya adalah di Selangor.

"Selangor merekodkan 36 lokaliti kawasan panas, tiga di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu di Melaka dan Sabah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setiap lapisan masyarakat perlu bertindak proaktif dengan memastikan persekitaran premis kediaman, tempat kerja dan sebagainya bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Jawatankuasa penduduk, badan pengurusan bersama, rukun tetangga atau pihak berwajib diminta menggerakkan komuniti untuk segera melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes.

Selain itu, gunakan kaedah pencegahan seperti repelan serta semburan aerosol di tempat tersembunyi," katanya.