Rafizi bawa harapan baharu

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat mampu memberi harapan baharu kepada parti itu dan komponen Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, perkembangan itu juga sedikit sebanyak dapat meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap PKR dan PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Mana-mana parti politik perlu suntikan baharu, tenaga orang muda dan parti-parti lain termasuk Amanah juga tidak terkecuali," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Amanah Terengganu di sini pada Selasa.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Amanah turut memberi peluang kepada anak muda menonjol sebagai pemimpin dan ia telah diperjuangkan sejak sekian lama seiring dengan perubahan landskap politik negara.

"Masa depan negara ini akan diwarisi oleh generasi muda, jadi kita perlu bimbing mereka dan beri inspirasi seawal mungkin.

"Malah, Amanah termasuk di Terengganu turut memberi peluang kepada anak muda dan Ketua Pemuda parti di peringkat nasional berasal dari negeri ini,” katanya.

Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan memenangi saingan kerusi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2022.

Dalam saingan itu, Rafizi dilaporkan memperoleh 68,992 undi mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memperoleh 50,038 undi.