'Kisah saya bersama Bayern telah berakhir'

Lewandowski
Lewandowski
A
A
A

ROBERT Lewandowski menegaskan masanya bersama juara Bundesliga Jerman, Bayern Munich telah berakhir tanpa menyatakan rancangan masa depannya meskipun terdapat laporan mendakwa Barcelona telah membuat tawaran kepada penyerang sensasi Poland tersebut.

“Hari ini sudah pasti kisah saya dengan Bayern telah berakhir...

“Saya tidak dapat bayangkan kerjasama selanjutnya, selepas apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu...

"Perpindahan akan menjadi penyelesaian terbaik, saya percaya Bayern tidak akan menghalang saya, walaupun mereka mampu menghalangnya,” kata bekas penyudah Borussia Dortmund tersebut kepada pemberita di Warsaw.

Dengan baki setahun kontrak Lewandowski di Allianz Arena, Barcelona dilaporkan telah membuat tawaran sebanyak 32 juta euro (AS$34.5 juta) untuk menandatangani khidmatnya.

Lewandowski sebelum itu dalam program temu bual dengan stesen media Poland, memberi bayangan tentang bagaimana dia akan menikmati penghidupan di Sepanyol.

"Saya fikir ia adalah tempat yang sangat bagus, bukan hanya untuk bercuti di sana," katanya sambil menambah sudah mempunyai rumah di Mallorca.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Khan dan Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic sebelum ini menegaskan secara terbuka kelab sarat kejuaraan liga Jerman itu tidak akan membiarkan Lewandowski meninggalkan bumi Munich sebelum 2023.

Terdahulu pada awal bulan ini, ejen Lewandowski, Pini Zahavi memberi amaran kepada Bayern supaya tidak bertegas dengan kontrak pemain itu.

“Ya, sudah tentu mereka boleh mengekalkan Robert Lewandowski selama setahun lagi, untuk bersikap adil dia mempunyai kontrak sehingga 2023, tetapi saya tidak akan mengesyorkannya kepada mereka,” ujar Zahavi kepada akhbar harian Jerman.

Malah tegas Zahavi isu berkaitan Lewandowski dan Bayern Munich bukan mengenai wang tambahan.

“Dia berasa tidak dihormati oleh mereka yang bertanggungjawab (di Bayern) selama berbulan-bulan, itulah kebenarannya.

"FC Bayern tidak kehilangan Lewandowski sebagai pemain, tetapi Robert orangnya," jelasya.

Pada masa sama, Zahavi berharap, tokoh senior Bayern akan memikirkannya semula dan memberi peluang kepada Lewandowski untuk memenuhi impian sepanjang hayat dan berpindah ke kelab impiannya.

Untuk rekod, Lewandowski merupakan pemenang berturut-turut anugerah pemain lelaki terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memenangi setiap kejuaraan domestik sejak menyertai Bayern pada 2014, termasuk lapan trofi Bundesliga dengan keseluruhan 10 dengan dua dimenangi ketika menyarung seragam seteru kelab Munich itu, Dortmund, selain memenangi Liga Juara-Juara bersama Bayern pada 2020.

Lewandowski juga merupakan penjaring terbanyak dalam Bundesliga musim lalu untuk tahun kelima berturut-turut selepas menjaringkan 35 gol dalam liga utama Jerman.

Terdahulu Bayern turut mengesahkan pemergian pemain tengah Perancis, Corentin Tolisso yang kontraknya telah tamat selepas lima tahun di Munich.