Pemandu mabuk dijel sehari, denda RM10,000

Chee Wee (dua kiri) dipenjara sehari dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Chee Wee (dua kiri) dipenjara sehari dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pembantu kedai dipenjara sehari dan didenda RM10,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menjatuhkan hukuman itu ke atas Chan Chee Wee, 40, selepas membuat pengakuan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Chee Wee dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda itu dan lesen memandunya digantung selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan dengan kadar kandungan alkohol yang melebihi had ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taming Sari, pada 18 April tahun lalu kira-kira jam 12.50 tengah malam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil dan tertuduh diwakili peguam, Loong Meng Si.

Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas disyaki memandu dalam pengaruh alkohol.

Pemeriksaan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA), polis mendapati kadar kandungan alkohol dalam nafas tertuduh melebihi kadar dibenarkan.