UMP raih anugerah khas, 14 pingat emas dalam ITEX 2022

Dr Yuserrie (duduk,tengah) bersama penyelidik UMP yang mengambil bahagian dalam ITEX 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Yuserrie (duduk,tengah) bersama penyelidik UMP yang mengambil bahagian dalam ITEX 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Inovasi hasil penyelidikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraih anugerah khas selain 14 pingat emas dan 10 pingat perak sempena Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2022 (ITEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei lalu.

Produk 'Smart-Steadi for Efficient Agarwood Essential Oil Extraction’ hasil penyelidikan Profesor Madya Dr Saiful Anwar Che Ghani dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas 'Best Invention Universities and Educational Institutions'.

"Inovasi Smart-Steadi digunakan untuk meningkatkan hasil pengekstrakan minyak gaharu dan membantu mengurangkan kos pengeluaran.

“Perusahaan gaharu mampu dijadikan sebuah industri. Melalui kerjasama UMP di bawah Bioaromatic Research Center (BARCE) dengan anak syarikat negeri Johor, PIJ Agarwood, sebuah fasiliti pengekstrakan gaharu sedang disiapkan.

“Dengan berkembangnya industri ini di negara kita,ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurut Saiful Anwar, idea inovasi itu tercetus selepas beliau terlibat dalam beberapa kajian membina fasiliti pemprosesan gaharu berskala industri bersama pengusaha gaharu tempatan dan luar negara.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin bangga dengan pencapaian penyelidik UMP.

Menurutnya, 24 produk penyelidikan UMP yang dipamerkan dalam ITEX kali ini mendapat pengiktirafan.

Beliau sebelum itu hadir bertemu penyelidik dan menyaksikan sendiri hasil penyelidikan yang dipamerkan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli.

Penganjuran ITEX merupakan sebuah pameran tahunan reka cipta dan inovasi bertaraf antarabangsa yang dihadiri pereka cipta dari dalam dan luar negara.