Khairy Jamaluddin ke Singapura sebagai Felo Pertukaran Lee Kuan Yew

Khairy Jamaluddin Abu Bakar.- Foto Bernama
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.- Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan berada di Singapura sebagai Felo Pertukaran Lee Kuan Yew dari 31 Mei hingga 3 Jun 2022, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.

Khairy Jamaluddin merupakan Felo Pertukaran Lee Kuan Yew ke-71 dan ketujuh dari Malaysia, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

MFA berkata, Khairy Jamaluddin akan bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi Heng Swee Keat; Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean; serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam.

Beliau juga dijadual bertemu Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kewangan Lawrence Wong; Menteri Kesihatan Ong Ye Kung; dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo, menurut kenyataan itu.

Sempena lawatannya, Khairy Jamaluddin akan berucap pada Sidang Kemuncak Asia Tech x Singapore (ATxSG) anjuran Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) republik itu, menurut MFA.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pegawai dari Kementerian Kesihatan, A*STAR dan Agensi Teknologi Kerajaan selain menyertai lawatan yang diatur Agensi Alam Sekitar Kebangsaan terhadap kemudahan ujian sisa air, dan menyampaikan ucapan di Universiti Kebangsaan Singapura, Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam.

Ditubuhkan pada tahun 1991, Felo Pertukaran Lee Kuan Yew menjemput individu yang cemerlang bagi mengadakan lawatan peringkat tinggi ke Singapura.

Individu dipilih berdasarkan rekod prestasi mereka dan potensi luar biasa dalam menyumbang kepada pembangunan negara mereka dan hubungan dua hala dengan Singapura.

"Pertukaran sebegini membantu memupuk dialog dan kerjasama, dan memperkukuh kerjasama dua hala kami,” menurut kementerian itu.

Lee Tzu Yang, Pengerusi Felo Pertukaran Lee Kuan Yew, akan menganjurkan majlis makan malam untuk Khairy Jamaluddin. - Bernama