Bom mortar perang dunia kedua ditemui dalam longkang

Bom mortar 40mm yang ditemui oleh pekerja binaan dalam sebuah longkang di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur. Gambar - PDRM
Bom mortar 40mm yang ditemui oleh pekerja binaan dalam sebuah longkang di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur. Gambar - PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Taman Pusat Kepong di sini terkejut dengan penemuan sebutir bom mortar berkaliber 40 millimeter (mm) dalam longkang di kawasan berkenaan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bahan letupan era perang dunia kedua itu ditemui oleh pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja binaan di situ sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum menghubungi polis.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

"Pegawai UPB mengesahkan bahawa objek tersebut ialah sebutir bom jenis peluru mortar latihan 40mm berwarna putih yang kebiasaannya digunakan dalam latihan ketenteraan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati bahan letupan tersebut tidak lagi aktif dan dihantar ke Cawangan Persenjataan IPK Kuala Lumpur untuk tindakan susulan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

"Orang ramai dinasihati segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 sekiranya menjumpai sebarang objekmencurigakan dan tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,"ujarnya.