Polis siasat kes gaduh di Hoshas

Tangkap layar dari klip video yang tular di laman sosial memaparkan beberapa individu bergaduh di pekarangan Hoshas.
Tangkap layar dari klip video yang tular di laman sosial memaparkan beberapa individu bergaduh di pekarangan Hoshas.
A
A
A

TEMERLOH - Satu kertas siasatan dibuka susulan pergaduhan melibatkan beberapa individu di pekarangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, polis menerima laporan dan rakaman klip video yang tersebar melalui TikTok kira-kira jam 1.30 petang Isnin.

Menurutnya, rakaman video yang berdurasi 10 saat memaparkan beberapa pelawat yang menjaga pesakit sedang bergaduh dengan pengawal keselamatan di hadapan pekarangan hospital tersebut.

"Kejadian berpunca daripada pelawat hospital yang tidak berpuas hati dengan pengawal keselamatan hospital kerana dikatakan melengahkan waktu pertukaran penjaga di wad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, polis juga sedang mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Daerah atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.