Pembenihan awan untuk Empangan Kolam Bukit Merah: MB Perak

Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai yang didakwa semakin surut.
Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai yang didakwa semakin surut.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Kerajaan Negeri Perak akan menjalankan pembenihan awan untuk mengatasi masalah paras air di Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai yang semakin surut.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan laporan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria pada mesyuarat exco kerajaan negeri pada dua minggu lepas.

"Kami membuat permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membuat projek pembenihan awan supaya ia akan membekalkan air hujan ke dalam takungan air di tempat berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) Daerah Larut, Matang dan Selama di Changkat Jering di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha memberikan peruntukan diperlukan bagi proses pembenihan awan seperti yang dinyatakan Razman bagi membantu para petani di kawasan terbabit.

Saarani turut meminta petani terlibat supaya peka akan jadual penyusutan paras air empangan yang lazimnya berlaku setiap tahun dan mengelakkan pembaziran dalam penggunaan air disebabkan sumber yang terhad.

Ditanya mengenai perkembangan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air semasa musim kemarau, Saarani berkata kerajaan negeri masih mengkaji kos projek jangka panjang itu.

Baru-baru ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan bahawa bekalan air pengairan akan dihentikan secara berperingkat sepenuhnya setelah paras kolam Bukit Merah mececah paras 6.096 meter.

Menurut pemakluman itu, keutamaan bekalan air dari kolam Bukit Merah kini adalah untuk rawatan air mentah oleh Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol dan Jalan Baru, Parit Buntar.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, orang awam dan pesawah padi dinasihatkan untuk bersama-sama berdoa agar diturunkan hujan di kawasan tadahan kolam Bukit Merah.

Sebelum itu, Saarani berkata program Mesra yang dijalankan di setiap daerah akan mengambil kira pandangan dan keperluan penduduk negeri ini sebelum melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 pada 15 Jun nanti.

Katanya, melalui program Mesra, pelbagai masalah rakyat dapat diatasi termasuk peruntukan sebanyak RM500,000 yang telah diluluskan bagi menangani masalah banjir di Kampung Padang Bola dan Kampung Paya dekat sini. - Bernama