UiTM juara golf kali ketiga berturut-turut

Pasukan golf UiTM juara keseluruhan Kejuaraan Golf Antara Universiti Awam ke-49. - Foto UiTM
Pasukan golf UiTM juara keseluruhan Kejuaraan Golf Antara Universiti Awam ke-49. - Foto UiTM
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memperagakan aksi cemerlang apabila dinobatkan juara keseluruhan Kejuaraan Golf Antara Universiti Awam ke-49 buat kali ketiga berturut-turut selepas meraih tiga pingat emas dan satu perak.

Pencabar terdekat UiTM, Universiti Utara Malaysia (UUM) pula meraih tempat kedua dengan mengumpul dua pingat emas diikuti Universiti Malaysia Pahang (UMP) ketiga dengan satu emas.

Kejohanan kali ini disertai lebih 300 pemain golf terdiri daripada kakitangan universiti awam berlangsung di tiga lokasi kejohanan iaitu di Kelab Golf Diraja Pahang, Kelab Golf Diraja Pekan dan Mahkota Golf and Country Club, Kuantan, Pahang selama dua hari bermula 28 dan 29 Mei.

Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Pro-Canselor UMP, Tan Sri (Dr) Abi Musa Asaari Mohamed Nor diiringi Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.