'Audit dulu, baru baiki saluran paip dasar laut Langkawi'

Muhammad Sanusi (tengah) dan Takiyuddin (tiga dari kanan) semasa Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan al-Hana, di sini, pada Isnin.
Muhammad Sanusi (tengah) dan Takiyuddin (tiga dari kanan) semasa Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan al-Hana, di sini, pada Isnin.
A
A
A

SIK - [DIKEMAS KINI] Projek pembaikan saluran paip dasar laut yang bocor membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta dari tanah besar ke Langkawi hanya akan dimulakan selepas kerja-kerja mengaudit integriti saluran paip itu selesai.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan untuk menjalankan audit tersebut.

"Sekiranya audit integriti tidak dilakukan, kemungkinan boleh berlaku risiko tekanan air yang kuat sehingga menyebabkan kebocoran baharu berlaku pada paip.

"Oleh itu, kita perlu menjalankan audit terlebih dahulu supaya kita boleh yakin bahawa saluran paip itu selamat untuk kerja-kerja pembaikan, jika tidak, kita akan membazir RM50 juta yang dibelanjakan untuk membaik pulih 23 lubang (bocor) sedia ada di sepanjang saluran paip itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir ke Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan al-Hana, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Muhammad Sanusi, syarikat yang mempunyai kepakaran melaksanakan audit integriti itu berpangkalan di Belanda.

“Saya telah bangkitkan perkara ini kepada KeTSA dan diberitahu bahawa proses itu akan mengambil masa yang agak lama untuk diproses mengikut prosedur pelantikan tender biasa.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian telah mencadangkan pelantikan dibuat mengikut prosedur kecemasan, jadi saya harap pelantikan kontraktor akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberi jaminan kepada penduduk di Langkawi bahawa terdapat bekalan air terawat yang mencukupi kerana mempunyai sebuah empangan di Bukit Malut.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri telah memohon geran daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan saluran paip air terawat dasar laut dari tanah besar ke Langkawi.

Difahamkan, kerja-kerja membaiki 23 lubang di sepanjang saluran paip kira-kira tiga kilometer itu, akan membantu menjimatkan 20 juta liter air tidak terhasil setiap hari iaitu separuh daripada jumlah isipadu air yang dibekalkan ke pulau tersebut.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, gangguan bekalan air terawat ke pulau Pulau Tuba di Langkawi telah diselesaikan.

“Ya, terdapat gangguan bekalan air ke Pulau Tuba baru-baru ini kerana tekanan rendah dalam saluran paip tenggelam tetapi ia telah diselesaikan," katanya.