Polis Kelantan berkas empat tokan dadah

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tiga, kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, pada Ahad.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tiga, kanan) menunjukkan pil kuda yang dirampas dalam serbuan, pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Empat tokan dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Tumpat dan di Kota Bharu, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah bernilai RM11,000 turut dirampas bersama suspek-suspek lelaki yang berusia dari 26 hingga 48 tahun itu.

"Serbuan pertama membabitkan penahanan dua lelaki di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat pada jam 1 pagi. Jumlah dadah dalam serbuan pertama sebanyak 1,020 pil kuda dan empat biji pil epam bernilai RM10,220,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, pada Isnin.

Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Jal Kechik, Tumpat pada jam 2.30 pagi.

“Serbuan kedua itu menemukan 23 biji pil kuda dan tiga gram dadah bernilai RM730.

“Kemudian dalam serbuan ketiga, seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Sireh Bawah Hilir, Kota Bharu dan polis merampas 55 biji pil kuda bernilai RM550,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kesemua suspek direman lima hari bermula Ahad sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Keseluruhan rampasan dadah dalam ketiga-tiga serbuan tersebut berjumlah RM11,550 selain sebuah motosikal jenis RS 150 berwarna hitam bernilai RM6,000 disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.