[VIDEO] Aksi tarian separuh bogel, penganjur majlis hari raya ditahan

Aksi sekumpulan lelaki berperwatakan wanita pada majlis sambutan Aidilfitri di Centralwalk I-City pada Jumaat.
Aksi sekumpulan lelaki berperwatakan wanita pada majlis sambutan Aidilfitri di Centralwalk I-City pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Mencemarkan sambutan bulan Syawal. Itu antara tindakan sekumpulan lelaki berperwatakan wanita apabila berpakaian separuh bogel dan menari pada majlis sambutan Aidilfitri di Centralwalk I-City di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan berdasarkan video tular melibatkan tarian separuh bogel oleh sekumpulan lelaki berperwatakan wanita serta pembakaran bunga api di lokasi kejadian.

Katanya, ia selepas polis menerima laporan daripada Pengurus Perbadanan Penduduk (JMB) I-Soho I-City Shah Alam berhubung kejadian itu.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8 hingga 11.30 malam melibatkan sekumpulan lelaki berperwatakan wanita membuat tarian separuh bogel diikuti dengan muzik yang kuat serta terdapat pembakaran bunga api di kawasan awam berhampiran rumah penduduk," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, susulan itu, seorang lelaki dipercayai penganjur majlis berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Penganjur dikenali dengan nama panggilan Cik Lala adalah individu yang menyewa unit berkenaan dengan kos RM4,000 untuk majlis hari raya dengan jemputan lebih kurang 50 orang kenalannya.

"Penganjur telah direman sehingga Selasa untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.