Ugut, ikat pengawal keselamatan sebelum samun

Vijaya (kiri) menunjukkan antara mesin bitcoin yang dirampas susulan tangkapan 12 individu dipercayai terlibat kes samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.
Vijaya (kiri) menunjukkan antara mesin bitcoin yang dirampas susulan tangkapan 12 individu dipercayai terlibat kes samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.
A
A
A

KLANG - Diugut sebelum diikat, itu antara detik cemas yang dialami tiga pengawal keselamatan dalam dua siri kejadian samun di sebuah kilang mesin bitcoin di Meru di sini pada 27 April dan 20 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi.

"Siasatan yang dijalankan kemudian berjaya menangkap 12 individu di sekitar Klang termasuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Penangkapan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40-an ini sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa siri jenayah samun di sekitar kawasan Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini pada Isnin.

Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut.

"Siasatan mendapati kejadian melibatkan 180 mesin bitcoin dianggarkan bernilai lebih RM180,000.

"Tiga pengawal keselamatan yang telah diugut dan diikat ketika kejadian pada 27 April serta 20 Mei itu merupakan warga tempatan berumur lingkungan 30-an. Kesemua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Vijaya menunjukkan antara suspek yang dikesan dipercayai terlibat dalam kejadian samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.
Vijaya menunjukkan antara suspek yang dikesan dipercayai terlibat dalam kejadian samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.

Menurutnya, susulan tangkapan yang dijalankan, polis berjaya menemukan pelbagai barangan termasuk mesin bitcoin yang telah disamun.

"Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan jenis Proton Wira dan Nissan Sentra, telefon bimbit serta pelbagai barangan lain.

"Semakan rekod mendapati 11 daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah serta dadah," katanya.

Antara kenderaan yang dirampas dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.
Antara kenderaan yang dirampas dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun melibatkan sebuah kilang mesin bitcoin di Meru pada 27 April dan 20 Mei lalu.

Ujar Vijaya, pihaknya turut mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

"Keempat suspek ini mempunyai hubung kait dengan kejadian dan dipercayai berumur sekitar 30-an.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.