[VIDEO] Lelaki ditahan tayang 'pistol' sambil memandu

Gelagat suspek menunjukkan pistol mainan (dalam bulatan) dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang lain pada Ahad.
Gelagat suspek menunjukkan pistol mainan (dalam bulatan) dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang lain pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang lelaki menayang pistol mainan melalui tingkap kereta semasa sedang memandu berhampiran pusat beli-belah One Utama menghala ke Tol Lebuh Raya Damansara-Puchong di sini membawa padah apabila ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, gelagat suspek berusia 28 tahun itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang lain dalam kejadian sekitar jam 6.15 petang berhampiran kompleks beli-belah berkenaan.

"Pada jam 7.03 malam 29 Mei lalu, polis menerima laporan berkenaan seorang lelaki yang sedang memandu kereta jenis Proton Wira berwarna merah mengeluarkan pistol dari tingkap dan menghalakan ke atas.

"Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 10 malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fakhrudin berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan mendakwa pistol berkenaan merupakan pistol mainan.

"Suspek mendakwa bahawa pistol mainan berharga RM2.40 itu adalah milik anak buahnya yang berumur empat tahun dan mendakwa sedang bermain dengan anak buahnya itu ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira dan pistol mainan berwarna hitam-coklat untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek yang mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah itu direman dua hari bermula Isnin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960.