Lemas: Mayat remaja warga Thailand ditemui

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan mangsa ketiga tragedi lemas tiga sepupu di Kuala Krai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan mangsa ketiga tragedi lemas tiga sepupu di Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Mangsa ketiga tragedi lemas membabitkan tiga sepupu warganegara Thailand di Sungai Kelantan berhampiran pangkalan feri di Kampung Pasir Kelang, di sini ditemukan pada Sabtu.

Mayat, Ku Nabila Ku Zaid, 15, ditemukan pada jam 6.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mayat remaja terbabit ditemukan oleh pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan dibantu oleh penduduk kampung.

“Pasukan SAR menjumpai mangsa yang terapung dalam jarak satu kilometer dari tempat kejadian.

“Lokasi mayat ditemui itu adalah di Sungai Kelantan berhampiran kawasan Kampung Pasir Era di daerah Kuala Krai,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi pada Sabtu.

Ujar beliau, susulan penemuan itu, SAR ditamatkan pada jam 7 malam Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus deras dan lemas ketika mandi selepas memancing di sungai terbabit.

Dua lagi mayat, Nik Alia Tuan Tengah, 15, ditemukan pada jam 6.30 petang Jumaat dan Nik Adib Tuan Tengah, 13, dijumpai pada jam 9 malam hari sama.

Dua jenazah tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai pada petang Sabtu.