X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Harimau Malaya mudah atasi Brunei

Jaringan sulung Syafiq Ahmad (kanan), diraikan rakan-rakan sepasukan. - Foto FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Brunei 4-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Aksi persahabatan yang boleh diibaratkan aksi pemanas badan sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E mulai 8 hingga 14 Jun nanti itu secara keseluruhannya didominasi oleh skad kendalian Kim Pan-gon itu.

Skuad Harimau Malaya bermula garang sebaik wisel permulaan menerusi asakan-asakan berbahaya ke pintu gol Brunei bagi membuka jaringan.

Bagaimanapun, kebanyakan asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan Brunei.

Namun, minit ke-16, menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil bergema apabila Syafiq Ahmad menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut daripada V.Ruventhiran.

Gol berkenaan menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon itu mula mendominasi perlawanan apabila dilihat banyak melakukan percubaan ke pintu gol Brunei dalam usaha menambah jaringan.

Segala percubaan berkenaan akhirnya menghasilkan gol kedua menerusi jaringan Syameer Kutty Abba pada masa kecederaan babak pertama.

Syameer Kutty Abba menjaringkan gol kedua Harimau Malaya. - Foto FAM
Syameer Kutty Abba menjaringkan gol kedua Harimau Malaya. - Foto FAM

Babak kedua menyaksikan skuad Harimau Malaya semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan dan asakan-asakan berkenaan berhasil apabila Faisal Halim meledak gol ketiga pada minit ke-58, hasil lorongan cantik daripada Guilherme de Paula.

Minit ke-81 menyaksikan De Paula sendiri mencatatkan nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol keempat setelah menyempurnakan sepakan penalti setelah Akhyar Rashid dikasari dalam kotak penalti.

Menuju ke penghujung permainan, skuad Harimau Malaya dilihat semakin hebat mengasak ke gawang Brunei dalam usaha menambah jaringan, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dijaringkan hingga ke wisel penamat.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu bakal berdepan Hong Kong pada aksi persahabatan seterusnya di venue sama, pada 1 Jun sebelum memulakan aksi kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

MALAYSIA – Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari, Junior Eldstal, Safiq Rahim (kapten), Mohamadou Sumareh, Syamer Kutty Abba. Faisal Halim, Syafiq Ahmad, Dion Cools, Khuzaimi Piee, V.Ruventhiran

BRUNEI – Muhammad Haimie Abdullah Nyaring, Muhd ‘Afi Aminuddin, Abdul Muiz Sisa, Ak Md Fakharazzi Pg Hj Hassan, Mohd Hendra Azam Mohd Idris, Muhd Razimie Ramli, Mohd Najib Haji Tarif (kapten), Hazwan Hamzah, Abdul Hariz Herman, Muhd Hakeme Yazid Said, Muhd Hanif Hamir

PENGADIL – Muhammad Nazmi Nasaruddin


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!