Tonto dalam tindakan PDRM

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan ke atas sindiket tonto yang berperanan sebagai pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kegiatan tonto yang mengekori dan mengawasi kenderaan JPJ telah dikesan pihaknya.

Menurutnya, tindakan tonto yang memerhati dan mengekori setiap pergerakan anggota JPJ memberi cabaran kepada pihak berkuasa terbabit untuk menjalankan tugas.

"Perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Ancaman tonto ini telah menimbulkan persepsi negatif untuk mengambil tindakan ke atas kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, sejak tahun lalu hingga Mei tahun ini, lima laporan polis dibuat mengenai aktiviti penglibatan tonto.

Katanya, dua kertas siasatan telah berjaya dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sindiket tonto yang melindungi dan memberi maklumat kepada kenderaan yang melakukan kesalahan," tegasnya.

Tambah beliau, PDRM akan sentiasa membantu JPJ dan penguat kuasa lain sekiranya wujud ancaman semasa melaksanakam tugas penguatkuasaan.