Pengganti Zuraida prerogatif PM

Muhammad Zahid
Muhammad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip mengingatkan semua pihak agar menghormati hak mutlak Perdana Menteri dalam menentukan ahli kabinet serta penyusunannya.

Muhammad Zahid berkata, parti politik yang menganggotai kerajaan boleh berunding dengan Perdana Menteri namun diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan 'memaksa' ketua kerajaan itu untuk menggugurkan Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

"Saya menyeru semua pihak agar tidak ‘menangguk di air keruh’ dengan menekan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk mengugurkan beliau (Zuraida) serta melantik orang itu dan ini.

“Beliau (Zuraida) masih lagi seorang anggota kabinet dan masih menjadi penyokong kepada kerajaan sedia ada," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Zuraida dalam kenyataan pada Khamis mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida turut menyatakan hasrat bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan soal peletakan jawatannya sebagai anggota kabinet.