'Saya tidak pernah minta RM2 juta' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa beliau tidak pernah meminta RM2 juta daripada pengarah syarikat pemprosesan visa, Profound Radiance Sdn Bhd atau mana-mana pihak lain.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari keenam, bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebaliknya Ahmad Zahid berkata, wang menerusi tiga cek itu diberikan kepada Yayasan Akalbudi sebagai sumbangan politik dan amal jariah.

Beliau berkata, ia sebagaimana tertera pada kaki cek berkenaan malah perkara itu disahkan saksi pendakwaan ke-38, Pengarah Profound Radiance, Azlan Shah Jaffril.

Menyentuh penganugerahan projek kepada Profound Radiance, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, proses itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ada arahan yang diminitkan, supaya syarikat itu diberi peluang jika tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan mereka tidak layak untuk dianugerahkan dengan projek lain daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa dua cek yang diterima daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd berjumlah RM6 juta bukan suatu bentuk rasuah.

Sebaliknya beliau berkata, ia adalah sumbangan politik ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu dan menjadi sebahagian daripada amal jariah untuk YAB.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyangkal tuduhan bahawa cek itu adalah upah kerana melantik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) bagi melaksanakan Perolehan Pembekalan Cip Pasport (Kontrak Polycarbonate) untuk Jabatan Imigresen.

“Bukan keputusan saya untuk melantik DTSB, sebab saya tiada kuasa untuk membuat keputusan akhir kerana ia berada bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Berdasarkan proses yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia, penganugerahan projek Kontrak Polycarbonate kepada DTSB adalah teratur dan menurut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Sarana Kencana adalah milik Mohamed Hashim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad serta bekas Pengarah DTSB, Datuk Abu Hanifah Noordin.

Ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Ahmad Zahid berkata, Mohamed Hashim yang ketika itu Panglima Tentera Darat sudah dikenalinya lebih 20 tahun ketika beliau menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan dan ia bukan kerana pembabitan dalam perniagaan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Perbicaraan bersambung 27 Jun depan.