10,000 tiket dijual bagi perlawanan Muay Thai

Muhammad Nasir (tengah) bersama Rosli (kanan) di Karangkraf pada Khamis.
Muhammad Nasir (tengah) bersama Rosli (kanan) di Karangkraf pada Khamis.
A
A
A

SEBANYAK 10,000 tiket akan dijual bagi menyaksikan Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini.

Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, perlawanan tersebut akan diadakan di tempat yang sama seperti sebelum ini iaitu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 7,000 tiket telah terjual dan bakinya masih boleh dibeli melalui ejen yang sah dengan harga serendah RM25.

“Kejohanan ini diadakan pada jam 8.30 malam hingga 12.30 tengah malam. Seramai 22 peninju merangkumi Malaysia, Thailand dan juga Kemboja untuk merebut 11 tali pinggang dan satu piala.

“Peninju Malaysia pula berbilang bangsa iaitu ada Melayu, Cina dan juga India. Pada hari perlawanan, malam pertama ada enam perlawanan dan malam kedua ada lima perlawanan.

“Ini merupakan perlawanan kedua pada tahun ini. Pertama berlangsung pada 25 hingga 27 Februari dan malam akhir pada 5 dan 6 November ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Rosli turut memberitahu, kejohanan sebelum ini tidak melibatkan mana-mana peserta antarabangsa dan kali ini peninju tempatan terdiri daripada 80 peratus peserta Lembah Klang manakala selebihnya dari Kelantan, Pahang Kedah dan Melaka.