Mourinho buru pencapaian unik bersama AS Roma

Mourinho
Mourinho
A
A
A

JOSE Mourinho menyifatkan dirinya bukan lagi The Special One, namun pengendali AS Roma itu menyasarkan menjadi jurulatih pertama memenangi semua kejuaraan trofi Eropah apabila berdepan kelab Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam dalam perlawanan akhir Liga Konferensi di Stadium Air Albania, Tirana pagi Khamis.

“Jika menang kejuaraan Liga Konferensi, saya akan menjadi yang pertama memenangi semua kejuaraan trofi Eropah, tetapi itu pun hanya jika saya menang...

“Kisah The Special One, adalah kisah lama. Ia adalah ketika saya berada di awal karier saya. Apabila anda mempunyai lebih kematangan dan kestabilan, anda lebih memikirkan mengenai orang ramai dan kurang tentang diri anda.

“Apabila anda berada di final selepas gigih berusaha satu musim dan segala tugasan sudah selesai. Ia adalah detik pasukan, bukan detik individu,” kata Mourinho.

Untuk rekod, Mourinho yang telah memenangi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala UEFA, kini berpeluang memenangi kejuaraan sulung tahap ketiga Eropah, selain trofi pertama AS Roma dalam tempoh 14 tahun.

Pengendali kelahiran bumi Portugal itu terkenal apabila menggelarkan dirinya sebagai 'The Special One' ketika mengambil alih Chelsea pada 2004.

Mourinho, yang mengendalikan Roma musim ini membawa kelab itu ke tempat keenam dalam Serie A untuk layak ke Liga Europa musim depan, juga sedang mencari trofi pertama sejak kali terakhir menjulang Piala Itali pada 2008.

Tambah Mourinho lagi: "Tiada apa yang istimewa untuk dilakukan di perlawanan akhir, sebaliknya kami hanya perlu tampil sebagai satu pasukan dengan segala kualiti terbaik.

“Bagi saya, tidak kira bagaimana perlawanan akhir berakhir, ini adalah musim yang positif untuk kelab bola sepak ini.”