X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

[VIDEO] Wanita parah ditikam anak

Seorang wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian dada kiri selepas dipercayai ditikam oleh anak lelakinya berusia 14 tahun dalam kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Nor Yazhid Idris
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita mengalami kecederaan parah pada bahagian dada kiri selepas dipercayai ditikam oleh anak lelakinya berusia 14 tahun dalam kejadian di Bukit Yong, di sini pada Selasa.

Mangsa berusia 41 tahun kini dalam keadaan kritikal dengan kecederaan bocor pada paru-paru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata, kejadian berlaku jam 11.45 malam ketika mangsa sedang tidur bersama suspek di dalam sebuah bilik di rumah mereka.

Katanya, polis Pasir Puteh menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian pada jam 5.30 pagi, Rabu memaklumkan menerima seorang pesakit wanita yang mengalami kecederaan akibat ditikam dengan pisau.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama suspek juga anak ketiganya itu tidur dalam bilik yang sama kerana remaja tersebut demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.

“Secara tiba-tiba mangsa terasa sakit pada bahagian dada dan nampak sebilah pisau tertusuk dalam bahagian dadanya lalu memanggil suaminya yang tidur di bahagian hadapan ruang tamu rumah untuk pertolongan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, setelah bertindak mengeluarkan pisau tersebut sendiri, mangsa kemudian tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya dan doktor mengesahkan kesan tikaman tersebut membocorkan organ paru-paru bahagian kiri.

“Mangsa dirujuk ke Hospital USM Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut kerana kehilangan darah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam oleh suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.

“Suspek juga pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Pasir Puteh berjaya ditangkap dan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Beliau menjelaskan, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!